Tuesday, 26 November 2013

SEJARAH & PERKEMBANGAN SEPAK TAKRAW



Sepak Takraw ialah merupakan sejenis permainan antara dua pasukan atau regu yang dianggotai oleh tiga orang pemain bagi setiap regu. Di Malaysia, permainan ini dipanggil 'sepak takraw'. Namun, terdapat perbezaan nama permainan ini antara Malaysia dengan negara lain. Antaranya ialah :

Filipina : sipa
Burma : chinlone
Laos : kator
Thailand : takraw

Pada tahun 1940an, permainan ini telah dimainkan dengan menggunakan jaring dan mengikut sistem kiraan mata seperti badminton. Undang-undang dan peraturan awal permainan sepak raga jaring telah digubal dan disusun secara bertulis pada 15 April 1960 di Kuala Lumpur.

Permainan Sepak Takraw mula dipertandingkan buat pertama kalinya di peringkat antarabangsa pada tahun 1965 di Sukan SEAP yang telah diadakan di Malaysia. Perbincangan berlaku di antara wakil-wakil dari Negara Thailand dan Burma bagi membincangkan nama permainan ini. Jawatankuasa Pengelola Sukan SEAP telah memutuskan bahawa Permainan ini dinamakan sebagai SEPAK TAKRAW, yang merupakan gabungan perkataan 'sepak' dan 'takraw'.

Pada masa kini, permainan Sepak Takraw telahpun mengalami evolusi dimana permainan ini bukan sahaja dimainkan dan disertai oleh atlet lelaki, tetapi juga turut dimainkan oleh atlet wanita.

Pemain Sepak Takraw
Tekong - merupakan pemain yang berada di bahagian tengah berhampiran bulatan sepak mula, bertindak melakukan sepak mula atau servis serta mengawal bahagian tengah dan belakang gelanggang.
Apit kanan - merupakan pemain yang berada di bahagian sebelah kanan tekong, bertindak mengawal bahagian kanan dan bahagian hadapan gelanggang.
Apit kiri - merupakan pemain yang berada di bahagian sebelah kiri tekong, bertindak mengawal bahagian kiri dan bahagian hadapan gelanggang.

Apit Kanan dan Apit Kiri masing-masing boleh bertindak sebagai pencampak bola untuk Tekong melakukan sepak mula atau servis, melakukan libasan (rejaman), mengumpan bola dan membuat hadangan. Ini bergantung kepada situasi permainan dan kemahiran masing-masing

for someone...[nomad-tetap menantimu]



Aku menyedari telah jatuh cinta
Tapi aku tak bisa mengungkapkan
Terasa bahagia ku mencintaimu
Walaupun kau belum mencintaiku

Aku di sini kan selalu menunggu
Yang selalu ada di setiap waktumu
Selalu menanti jawapanmu
Untuk cinta yang terakhir

Semakin ku bisa untuk menyayangi
Semakin ku bisa untuk mengerti
Dari semua hidupmu yang ku mimpikan
Kan ku hapus semua menjadi indah

Tak akan pernah hilang rasaku
Cinta yang membawa dalam hatiku
Bagai mata yang tak terpejam
Aku tetap menantimu

Aku di sini kan selalu menunggu
Yang selalu ada di setiap waktumu
Selalu menanti jawapanmu
Untuk cintamu

Tak akan pernah hilang rasaku
Cinta yang membawa dalam hatiku
Bagai mata yang tak terpejam
Aku tetap menantimu
Aku kan tetap menantimu

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Muslimah:Antara Tertutp Dan Terbuka)

Beberapa malam yang lepas, seorang pensyarah pengajian Islam dari salah sebuah Negara Teluk datang ke rumah saya. Beliau menjadi imam tarawih di tempat saya Dewan al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziah. Selepas solat saya menjemputnya berbual dalam rumah saya. Ketika beliau memberitahu saya bahawa beliau mengajar pelajar-pelajar perempuan, saya bertanya apakah negaranya sudah membenarkan guru lelaki mengajar wanita secara berhadapan. Dia kata, dia mengajar menggunakan perantaraan talian komunikasi, bukan secara langsung. Saya tanya kenapa? Dia menjawab tidak wajar lelaki berhadapan dengan wanita secara langsung kerana itu membawa fitnah. Dia lalu membawa beberapa alasan dari hadis Nabi s.a.w untuk memperkukuhkan pandangan tersebut. Jam sudah agak lewat ketika itu, saya mengambil langkah enggan berhujah panjang dengan tetamu saya itu. Apa nak hairan, macam itu mazhab kebanyakan ulama di negaranya.

Di negara kita pula sehari dua ini ada yang tidak puas hati dengan fatwa larangan wanita muslimah menyertai pertandingan ratu cantik. Ada yang membantah kerana kononnya fatwa itu tidak demokratik dan menghalang hak wanita. Hal ini dibangkit dan disokong oleh kumpulan ‘liberal tegar’ yang seperti biasa –sekalipun mungkin tidak mengaku- menjadikan Barat sebagai asas dalam penentuan hal ini. Apabila kita sebut Barat, kita maksudkan pegangan awam yang menguasai cara fikir penentuan polisi di Barat. Kita tidak maksudkan agama Kristian.

Inilah masalah yang menghimpit pemikiran yang sederhana dan adil tentang wanita dalam Dunia Islam. Satu pihak yang begitu sempit tentang wanita sehingga menfardukan budaya setempat yang diberikan lebel agama ke atas wanita seperti yang berlaku di Pakistan dan beberapa negara Arab. Di satu pihak lagi, golongan yang menuntut agar tafsiran agama diselaraskan dengan kehendak semasa di Barat.

Wanita Zaman Nabi

Dalam hadis yang banyak, pergaulan antara lelaki dan wanita di zaman Nabi s.a.w berlaku secara normal tetapi terhormat. Tidak jumud seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Sebab itu sahabiyat atau wanita muslimah pada zaman Nabi s.a.w terlibat membantu Nabi s.a.w dan tentera Islam dalam peperangan. Mereka mengubati tentera yang cedera dan sebagainya. Bahkan ada yang terlibat langsung dengan peperangan. Umpamanya, semasa Peperangan Hunain, Umm Sulaim membawa khanjar (pisau belati) untuk menikam sesiapa yang menghampirinya. Dalam hadis Muslim, suaminya iaitu Abu Talhah berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah! Ini Ummu Sulain, bersamanya khanjar”. Lalu Rasulullah berkata kepada Ummu Sulaim, “Khanjar apakah ini?”. Ummu Sulaim menjawab, “Aku bawa, jika ada musyrikin (musuh) yang menghampiriku nescaya aku belah perutnya dengan ini”.



Begitu juga Umm Haram, apabila dia telah mendengar Nabi s.a.w bersabda: “Tentera yang pertama dikalangan umatku yang berperang di laut wajiblah bagi mereka itu di syurga.” Kata Umm Haram: “Wahai Rasulullah s.a.w! Adakah aku termasuk dikalangan mereka?” Jawab Baginda: “Ya!” Kemudian Baginda bersabda lagi: “Tentara yang pertama dikalangan umatku yang memerangi bandar Qaysar (Caesara) diampunkan dosa mereka.” Aku (Umm Haram) berkata: “Adakah aku dikalangan mereka, wahai Rasulullah?” Jawab Baginda: “Tidak!” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sejarah mencatatkan, bahawa peperangan umat Nabi s.a.w yang pertama di laut ialah peperangan Cyprus. Umm Haram telah menyertainya dan panglima tentera Islam dalam peperangan tersebut ialah Mu’awiyah ibn Abi Sufyan. Peperangan ini berlaku pada zaman pemerintahan Sayyidina ‘Uthman ibn ‘Affan. Mu’awiyah yang menjadi amir ketika itu, turut serta ke medan peperangan bersama dengan isterinya (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/223, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah)

Wanita juga terlibat menghidangkan makanan kepada lelaki semasa majlis perkahwinan. Dalam hadis al-Bukhari, masa majlis walimah Abu Usaid al-Sa’idi, isteri beliau yang merupakan pengantin baru melayan hidangan untuk tetamu lelaki, termasuk Rasulullah s.a.w.

Terdapat juga riwayat di mana Rasulullah dan para sahabat pernah nampak isteri al-Zubair ibn al-‘Awwam iaitu Asma bin Abi Bakr yang sedang membawa benih tamar, lalu baginda menjemputnya untuk naik tunggangan baginda. Dalam riwayat al-Bukhari, Asma berkata: “Nabi s.a.w mendudukkan unta untuk aku menaikinya. Aku malu terhadap Nabi dan teringatkan pula sifat cemburu kamu (al-Zubair)”.

Terlalu banyak riwayat yang menunjukkan pergaulan secara terhormat berlaku antara lelaki dan perempuan pada zaman Nabi s.a.w dengan keizinan baginda dan bahkan penglibatan baginda sendiri kadang-kala.

Sopan

Pun begitu, hubungan lelaki dan wanita mempunyai batasan yang mesti dikawal. Menutup aurat salah satu darinya. Pakaian menutup aurat bukan sahaja disuruh oleh Islam bahkan dalam semua agama yang ada hubung kait dengan wahyu serta kenabian seperti Yahudi dan Kristian, sentiasa menganggap menutup kepala dan jasad secara sopan seperti yang dipakai oleh nun dalam Kristian adalah tuntutan. Persamaan itu tidak pelik. Puasa juga Allah tegaskan (maksudnya)

“seperti mana diwajibkan kepada mereka yang sebelum kamu”.(Surah al-Baqarah, ayat 183).

Persamaan bukan menunjukkan pengaruh yang salah seperti yang didakwa oleh kelompok anti-tudung kepala.

Dalam al-Quran Allah berfirman: (maksudnya)

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan jilbab (pakaian) mereka ke atas tubuh mereka; cara yang demikian untuk mereka lebih dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Maka, asas dalam fesyen pakaian seorang wanita muslimah hendaklah berteraskan pakaian yang memberikan gambaran yang pemakainya seorang wanita yang baik dan tidak membangkit nafsu lelaki dengan pendedahan, warna yang melampau, rekaan fesyen yang memberikan nilai yang negatif dan seumpamanya.

Juga firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 31(maksudnya):

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan (tubuh) mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.

Berpandukan ayat ini pihak jumhur berhujah dengan dua perkara: pertama; maksud “kecuali yang zahir daripadanya” ialah wajah dan tapak tangan. Ini sama seperti yang ditafsirkan oleh Ibn `Abbas, Umm al-Mukminin`Aisyah, `Abdullah bin `Umar, Anas bin Malik, Abu Hurairah, al-Miswar bin Makhramah dan lain-lain. Sementara kalangan ulama seperti Abu Hanifah memasukkan pergelangan kaki antara yang boleh didedahkan. Dalam bahasa sekarang, tidak wajib memakai stokin. Kedua; ayat di atas menyatakan “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”. Ini bermaksud wanita diperintahkan agar tudung kepala mereka dilabuhkan sehingga menutup bahagian dada yang terdedah kerana belahan leher baju. Bahagian belahan leher yang mungkin mendedahkan dada dan sekitarnya itu perlu ditutup.



Inilah pakaian yang syarak tetapkan. Wanita muslimah patut mengetahui identiti mereka seperti yang disebut dalam ayat surah al-Ahzab tadi: ‘cara yang demikian untuk mereka lebih dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu’. Pakaian mempunyai nilai yang tersendiri dalam kehidupan masyarakat manusia.

Double Standard

Cuma mungkin ada yang keliru dengan fatwa yang dikeluarkan kerana hanya mengkhususkan pertandingan ratu cantik sedangkan ada lagi acara lain yang lebih terdedah seperti renang dan olahraga-olahraga lain. Mengapa pula tiada fatwa yang menghalang mereka?! Jawapan mungkin kerana olahraga-olahraga itu mendapat sokongan kerajaan-kerajaan yang berkuasa. Jika difatwa, mungkin tidak panjang ajal kontrak yang mengeluarkannya. Ataupun, seperti mazhab ulama muda sebuah pertubuhan politik, jika kesalahan kerajaan kita jangan bising, diam-diam bisik di telinga menteri sudahlah. Orang lain, mereka bising habis-habisan. Ataupun, seperti kata tetamu Arab saya yang keras tentang wanita itu, ‘para ulama hari ini ramai yang bacul’. Saya rasa saya boleh bersetuju dengannya dalam bab itu.


Sukan olahraga yang ada boleh disertai jika penontonnya hanya wanita. Walaupun ada khilaf ulama tentang kadar aurat sesama wanita, namun jika diambil pendapat yang lebih luas maka ruang boleh diberikan kepada mereka. Ataupun, mereka mengenakan suit yang tidak bercanggah dengan syarak. Maka, lelaki boleh melihat acara tersebut. Sekali lagi, walaupun ada pendapat yang sempit, kita memilih pendapat yang sederhana yang lebih memberi kemudahan dalam masa yang sama tidak lari dari nas-nas agama. Namun, tidaklah longgar sehingga melondehkan nas seperti golongan ‘liberal tegar’.

HENDAKLAH AKAL MENGUKUR MAKLUMAT (Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin)

Cabaran paling besar dalam kalangan sesetengah yang memakai gelaran ‘agamawan’ atau tokoh agama adalah apabila mereka tidak memiliki manhaj atau method yang betul dalam memahami sesuatu fakta yang dikaitkan dengan Islam ini. Lalu, atas kurang teliti, atau ‘kurang fikir’ atau ‘memang tak mahu fikir’ mereka menelan semua perkara yang dikaitkan dengan agama, samada hasil percakapan orang atau bahan bacaan yang mereka temui. Dari situlah lahirnya khurafat, karut marut, tokok tambah, kekartunan pemikiran yang diberikan lebel agama. Jika hal itu berterusan, maka kekeliruan terhadap agama akan berkembang lantas agama akan dipersenda dan didustai.

Menilai

Sesuatu riwayat atau kisah atau matan yang hendak dianggap benar untuk dikaitkan dengan Islam dinilai secara kritis sejauh manakah kesahihan maklumat tersebut. Ini mesti dilihat kepada sumber maklumat; samada ia berasal daripada al-Quran dan al-Sunnah atau tidak? Sementara jika riwayat itu bersumberkan hadis atau athar; hendaklah dipastikan ia riwayat yang diterima di sisi ilmu periwayatan. Setelah proses ini dilepasi, dinilai pula sejauh manakah kemunasabahan sesuatu teks atau riwayat itu. Adakah ia bertentangan dengan al-Quran, atau realiti yang nyata, atau fakta sejarah yang tidak mungkin dipertikaikan, atau akal yang disepakati? Jika ini berlaku dan tiada jalan keluar untuk menserasikannya, maka riwayat itu ditolak.

Contohnya cerita bahawa Bahtera Nabi Nuh a.s. tawaf ka’bah dan bersolat di makam Ibrahim dua raka`at. Ini semua adalah dusta. Tidak masuk akal. Nabi Nuh a.s. wujud sebelum Ibrahim a.s. Sementara Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim dan Makam Ibrahim mengambil sempena nama Nabi Ibrahim a.s. Di mana Kaabah dan makamnya ketika itu untuk bahtera Nuh bertawaf? Dengan itu para ulama hadis hadis menolak cerita ini. Termasuk yang tampail menempelak riwayat tersebut al-Imam al-Syafi’i r.h (al-Jurjani, al-Kamil fi Du’afa al-Rijal, 4/270, Beirut: Dar al-Fikr). Malang sekali, masih ada penceramah agama yang mendendangkan kisah karut ini.

Pembunuhan Husain

Beberapa email saya terima mengadu mengenai sebuah tulisan dalam akhbar ini yang menyatakan tentang sunat membuat bubur pada sepuluh Muharram kerana mengenangkan peristiwa pembunuhan Saidina Husain bin ‘Ali r.huma. Ada yang bimbang masuknya unsur syiah ke dalam masyarakat yang tidak diajar menilai sesuatu dengan kritis. Saya kata; kita tidak bimbang asal-usul sesuatu unsur pemikiran atau kefahaman dari mana datangnya. Selagi ia benar atau bertepatan dengan fakta, datanglah dari mana sahaja, sekalipun dari Yahudi. Kebenaran tidak memilih bulu. Apa yang dibimbangi adalah unsur tersebut terpinggir jauh dari kebenaran. Soal kelebihan amalan atau fadilat adalah ditentukan oleh Allah dan RasulNya. Dalam riwayat sahih yang manakah yang menyebut kelebihan membuat bubur hitam atau merah atau apa warna sahaja pada Hari ‘Asyura? Apa yang pasti ia tidak pernah ada riwayat sahih yang menyuruh hal itu. Apatahlagi peristiwa pembunuhan Husain bin ‘Ali berlaku pada tahun 61H, di zaman pemerintahan Yazid bin Mu’awiyah. (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/258, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Terlajak membicarakan tentang pembunuhan cucunda Nabi s.a.w ini, al-Husain bin ‘Ali yang amat kita cintai, ingin saya jelaskan bahawa ahli-ahli sejarah ramai yang berpendapat bukan Yazid yang membunuhnya seperti yang didakwa. Saya ingin memetik apa yang diulas oleh sejarahwan besar, al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H):

“Orangramai mempunyai berbagai pendapat tentang Yazid bin Mu’awiyah. Ada yang mencintai dan mengangkatnya iaitu segolongan penduduk Syam yang beraliran Nasibiyyah. Adapun golongan Syiah Rafidah, mereka mengejinya dan mengada-adakan berbagai pembohongan yang Yazid tidak lakukan. Ramai mereka menuduhnya zindiq (kafir yang berpura muslim). Dia tidak sampai begitu. Sementara pihak yang lain, tidak menyukainya dan tidak pula mencercanya. Ini kerana mereka tahu dia bukan zindik seperti yang dituduh oleh golongan Syiah Rafidah, namun pada zaman pemerintahannya berlaku berbagai peristiwa yang jelek dan perkara-perkara yang dibantah, hodoh dan keji. Paling teruk adalah pembunuhan Husain bin ‘Ali di Karbala. Namun dia tidak tahu (mengarahkannya) dan barangkali dia tidak meredhainya” (al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/256).

Kata tokoh pengkaji hadis al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H):

“Tidak sahih di sisi kami bahawa Yazid memerintahkan agar dibunuh al-Husain r.a. Riwayat mereka yang dipercayai bahawa perintah agar dibunuh al-Husain dari orang yang mengepalai dalam pembunuhannya iaitu `Ubaid Allah bin Ziyad, gabenor Iraq ketika itu” (Ibn Tulun, Qaid al-Syarid min Akhbar Yazid m.s. 57, Kaherah: Dar al-Sahwah, Kaherah).

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) mempunyai ulasan yang menarik, katanya:

“Apabila kaum keluarga Husain datang kepada Yazid, dia memuliakan mereka dan mengiringi mereka ke Madinah. Diriwayatkan dia melaknat Ibn Ziyad atas pembunuhan al-Husain. Katanya: “Aku meredhai ketaatan penduduk Iraq tanpa membunuh al-Husain”. Namun begitu beliau tidak menampakkan bantahannya, membela kematiannya dan mengambil tindakan membunuh balas sedangkan itu adalah kewajipannya. Maka dengan itu, pendokong kebenaran mengutuknya disebabkan dia meninggalkan kewajipan di samping perkara-perkara lain. Adapun musuh-musuhnya mereka menokok tambah pendustaan ke atasnya berbagai-bagai lagi” (Ibn, Taimiyyah, Majmu’ al-Fatwa, 2/253, Riyadh: Maktab al-‘Abikan).

Unsur Syiah

Unsur syiah bukan baru dalam masyarakat kita, walaupun ia belum lagi keterlaluan. Ini dapat dilihat bagaimana orang melayu menamakan akar-akar kayu dengan nama ‘Ali dan Fatimah; seperti tongkat Ali dan Kacip Fatimah. Tidak dinamakan tongkat Abu Bakr atau ‘Umar, tidak juga Kacip ‘Aishah, atau Habsah. Dalam jampi juga ada menyebut: “fu kiri, fu kanan, berkat doa baginda ‘Ali”. Jika sekadar nama ‘Ali atau Fatimah tiada salahnya. Mereka ialah kaum keluarga Nabi s.a.w yang amat kita kasihi. Sebaliknya, yang ditakuti apabila perkara yang tidak agama dianggap agama dalam Islam. Itu yang menakutkan. Sehingga di Pakistan, Iraq, Iran dan kawasan-kawasan yang kuat pegangan Syiahnya, pada hari ‘Asyura mereka mencederakan diri masing-masing dengan alatan tajam kerana mengenangkan Saidina Husain dan kekejaman Yazid. Ribuan bahkan ratus ribu kaum Syiah berkumpul pada sepuluh Muharram saban tahun melukai tubuh dengan darah dan membasahi pipi dengan airmata mendendami Yazid dan mengenang al-Husain bin ‘Ali. Lalu peristiwa hitam semalam, terus menjadi dendam hingga ke hari ini. Siapakah sasarannya? Apapun jawapannya, ia adalah antara sebab terpisahnya sunni dan syi’ah. Satu ajaran yang hidup dalam nostagia luka yang sebahagiannya mungkin benar, sebahagiannya mungkin palsu.




Apapun, saya tidak dapat bayang jika seseorang yang ingin menganut Islam hadir menyaksikan upacara yang dikaitkan dengan Islam yang dipenuhi manusia yang mencedera dan melukai diri sendiri, apakah dia akan terus menganggap agama yang membangunkan akal dan jiwa, mudah dan lurus mencapai Tuhan? Atau mungkin dia tidak dapat membezakan antara ajaran Kristian yang mendakwa darah Jesus terpaksa ditumpah untuk menebus dosa manusia, atau mungkin dia akan keliru dengan agama sesat yang menyuruh penganutnya berjalan atas api dan melukai diri untuk menunaikan nazar atau menebus dosa? Saya tidak pasti. Apa yang pasti itu bukan sifat Islam seperti yang terkandung indah dalam al-Quran dan al-Sunnah.




Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin (menjawab fitnah mufti kedah)


Ada pihak menunjukkan kepada saya satu rakaman fitnah yang sedang disebarkan, yang dibuat oleh Dato’ Badaruddin Mufti Negeri Kedah. Walaupun pada asasnya beliau bercakap tentang nama satu pihak dan isu wahabi namun dalam celahan sepintas lalu beliau menyebut nama saya.
Bagi mengulas hal ini, saya menyebut beberapa perkara berikut;

1. Adapun tuduhan beliau kepada aliran wahabi, itu urusan beliau dengan mereka. Pun begitu, saya katakan bahawa walaupun kita mungkin tidak bersetuju dengan beberapa pandangan ulama Saudi, tapi menuduh puak yang berbeza dengan sewenang-wenang perlulah berhati-hati. Ada kiraan dosa dan pahala di sisi Allah. Saya fikir sebodoh mana pun muslim tidak akan berkata bahawa ‘Allah memegang najis’, ‘Allah macam kera’. Tiada siapa yang dapat menerima perkataan yang seperti itu. Apakah mungkin untuk kita berkata kepada mereka yang menjadi imam-imam di Masjidil Haram dan Masjid Nabi ada kepercayaan yang seperti itu. Walaupun mungkin ada beberapa perkara yang kita tidak setuju dengan mereka, tidak wajar membuat ‘tembakan rambang’ kepada mereka.

2. Ada pun beberapa fitnah yang beliau sebut dan seakan macam saya juga bersetuju dengan hal itu maka katakan WALLAHI, wa BILLAH wa TALLAHI itu adalah fitnah beliau semata. Beliau hendaklah membuktikan tuduhan-tuduhan beliau samada melalui rakaman atau tulisan saya sendiri. Satu akhlak yang buruk bagi sesiapa yang menuduh orang tanpa bukti yang boleh dijadikan asas.

3. Isu tidak mengiktiraf keberkatan Nabi s.a.w dan menafikan boleh mengambil keberkatan Nabi s.a.w (tabarruk) termasuk tentang rambut Nabi s.a.w jika hendak dikaitkan dengan saya, adalah dusta. Sesiapa yang menonton video saya di youtube bertajuk: “Memburu Barakah” akan mengetahui pendirian saya tentang hal tersebut. Saya tidak nafikan tetapi berusaha memberikan makna dan panduan.

4. Isu tidak membenarkan orang solat tarawih lebih dari lapan rakaat bahkan menyatakan Perlis tidak membenarkan dan menganggap masuk neraka sesiapa yang bersolat lapan rakaat ke atas, adalah fitnah beliau yang beliau bertanggungjawab di hadapan Allah. Sejak sekian lama artikel saya bertajuk “Kekeliruan Tentang Solat Tarawih” yang di siar di web saya (Minda Tajdid), Akhbar Sinar Harian dan pelbagai laman web menyebut -antara lain- tentang solat tarawih: “Saya bersetuju dengan pendapat bahawa tiada had rakaat yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w. dalam hal ini. Seseorang beribadah berdasarkan kemampuannya. Nabi s.a.w tidak pernah menetapkan, bahkan memberikan keluasan dalam hal tersebut dengan menyatakan solat malam dua rakaat, dua rakaat sehingga apabila hendak masuk subuh berwitirlah”.

5. Isu tentang kononnya menyamakan Allah dengan makhluk seperti manusia dan kera adalah pembohongan dan fitnah beliau yang amat besar. Beliau boleh cari di manakah kenyataan yang seperti itu dalam tulisan ataupun ucapan saya yang begitu mudah di dapati di dunia siber. Tetapi hendaklah dipastikan ucapan dan tulisan yang tidak diedit dan dalam konteks yang betul. Jawapan saya dalam masalah ‘Arasy umpamanya sama dengan apa yang Hasan al-Banna sebut dalam ‘Usul al-‘Isyrin’, apa yang Sayyid Qutb sebut dalam Zilal al-Quran dan Dr Wahbah al-Zuhaili sebut dalam Tafsir al-Munir (lihat tafsir ayat 54, Surah al-‘Araf). Saya sebut nama-nama itu kerana mereka dikenali oleh orang melayu. Jawapan yang sama disebut oleh TG Nik Abd Aziz Nik Mat dan tokoh-tokoh yang lain. Sila tonton pelbagai video saya dalam hal ini.

6. Menuduh orang secara dusta adalah dosa yang besar. Saya akan bertemu dengan beliau di mahkamah Masyar dan juga Allah ada urusan dan tindakanNYA di dunia ini. Saya meminta beliau menarik balik kaitan itu, jika beliau rasa beliau tersilap ataupun diberikan maklumat yang salah. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tidak ada dinar dan dirham (Hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dos orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya” (Riwayat al-Bukhari).

7. Jika tidak, saya mengajak beliau BERMUBAHALAH iaitu bersumpah laknat atas nama Allah. Jika saya menyebut seperti tuduhan-tudahan beliau maka laknat Allah ke atas saya. Jika tidak, maka laknat Allah ke atas beliau.

8. Saya pohon kemaafan kerana terpaksa menjawab secara terbuka kerana tuduhan beliau disiarkan terbuka.

9. Kepada Allah kembali segala urusan. Sabda Nabi:

“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda:

“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya” (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Dalam riwayat Ahmad yang lain:


“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani)