Cabaran paling besar dalam kalangan sesetengah yang memakai
gelaran ‘agamawan’ atau tokoh agama adalah apabila mereka tidak memiliki manhaj
atau method yang betul dalam memahami sesuatu fakta yang dikaitkan dengan Islam
ini. Lalu, atas kurang teliti, atau ‘kurang fikir’ atau ‘memang tak mahu fikir’
mereka menelan semua perkara yang dikaitkan dengan agama, samada hasil
percakapan orang atau bahan bacaan yang mereka temui. Dari situlah lahirnya
khurafat, karut marut, tokok tambah, kekartunan pemikiran yang diberikan lebel
agama. Jika hal itu berterusan, maka kekeliruan terhadap agama akan berkembang
lantas agama akan dipersenda dan didustai.
Menilai
Sesuatu riwayat atau kisah atau matan yang hendak dianggap
benar untuk dikaitkan dengan Islam dinilai secara kritis sejauh manakah
kesahihan maklumat tersebut. Ini mesti dilihat kepada sumber maklumat; samada
ia berasal daripada al-Quran dan al-Sunnah atau tidak? Sementara jika riwayat
itu bersumberkan hadis atau athar; hendaklah dipastikan ia riwayat yang
diterima di sisi ilmu periwayatan. Setelah proses ini dilepasi, dinilai pula
sejauh manakah kemunasabahan sesuatu teks atau riwayat itu. Adakah ia
bertentangan dengan al-Quran, atau realiti yang nyata, atau fakta sejarah yang
tidak mungkin dipertikaikan, atau akal yang disepakati? Jika ini berlaku dan tiada
jalan keluar untuk menserasikannya, maka riwayat itu ditolak.
Contohnya cerita bahawa Bahtera Nabi Nuh a.s. tawaf ka’bah
dan bersolat di makam Ibrahim dua raka`at. Ini semua adalah dusta. Tidak masuk
akal. Nabi Nuh a.s. wujud sebelum Ibrahim a.s. Sementara Kaabah dibina oleh
Nabi Ibrahim dan Makam Ibrahim mengambil sempena nama Nabi Ibrahim a.s. Di mana
Kaabah dan makamnya ketika itu untuk bahtera Nuh bertawaf? Dengan itu para
ulama hadis hadis menolak cerita ini. Termasuk yang tampail menempelak riwayat
tersebut al-Imam al-Syafi’i r.h (al-Jurjani, al-Kamil fi Du’afa al-Rijal,
4/270, Beirut: Dar al-Fikr). Malang sekali, masih ada penceramah agama yang
mendendangkan kisah karut ini.
Pembunuhan Husain
Beberapa email saya terima mengadu mengenai sebuah tulisan
dalam akhbar ini yang menyatakan tentang sunat membuat bubur pada sepuluh
Muharram kerana mengenangkan peristiwa pembunuhan Saidina Husain bin ‘Ali
r.huma. Ada yang bimbang masuknya unsur syiah ke dalam masyarakat yang tidak
diajar menilai sesuatu dengan kritis. Saya kata; kita tidak bimbang asal-usul
sesuatu unsur pemikiran atau kefahaman dari mana datangnya. Selagi ia benar
atau bertepatan dengan fakta, datanglah dari mana sahaja, sekalipun dari Yahudi.
Kebenaran tidak memilih bulu. Apa yang dibimbangi adalah unsur tersebut
terpinggir jauh dari kebenaran. Soal kelebihan amalan atau fadilat adalah
ditentukan oleh Allah dan RasulNya. Dalam riwayat sahih yang manakah yang
menyebut kelebihan membuat bubur hitam atau merah atau apa warna sahaja pada
Hari ‘Asyura? Apa yang pasti ia tidak pernah ada riwayat sahih yang menyuruh
hal itu. Apatahlagi peristiwa pembunuhan Husain bin ‘Ali berlaku pada tahun
61H, di zaman pemerintahan Yazid bin Mu’awiyah. (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah
wa al-Nihayah, 6/258, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Terlajak membicarakan tentang pembunuhan cucunda Nabi s.a.w
ini, al-Husain bin ‘Ali yang amat kita cintai, ingin saya jelaskan bahawa
ahli-ahli sejarah ramai yang berpendapat bukan Yazid yang membunuhnya seperti
yang didakwa. Saya ingin memetik apa yang diulas oleh sejarahwan besar, al-Imam
Ibn Kathir (meninggal 774H):
“Orangramai mempunyai berbagai pendapat tentang Yazid bin
Mu’awiyah. Ada yang mencintai dan mengangkatnya iaitu segolongan penduduk Syam
yang beraliran Nasibiyyah. Adapun golongan Syiah Rafidah, mereka mengejinya dan
mengada-adakan berbagai pembohongan yang Yazid tidak lakukan. Ramai mereka
menuduhnya zindiq (kafir yang berpura muslim). Dia tidak sampai begitu.
Sementara pihak yang lain, tidak menyukainya dan tidak pula mencercanya. Ini
kerana mereka tahu dia bukan zindik seperti yang dituduh oleh golongan Syiah
Rafidah, namun pada zaman pemerintahannya berlaku berbagai peristiwa yang jelek
dan perkara-perkara yang dibantah, hodoh dan keji. Paling teruk adalah
pembunuhan Husain bin ‘Ali di Karbala. Namun dia tidak tahu (mengarahkannya)
dan barangkali dia tidak meredhainya” (al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/256).
Kata tokoh pengkaji hadis al-Imam Ibn al-Salah (meninggal
643H):
“Tidak sahih di sisi kami bahawa Yazid memerintahkan agar
dibunuh al-Husain r.a. Riwayat mereka yang dipercayai bahawa perintah agar
dibunuh al-Husain dari orang yang mengepalai dalam pembunuhannya iaitu `Ubaid
Allah bin Ziyad, gabenor Iraq ketika itu” (Ibn Tulun, Qaid al-Syarid min Akhbar
Yazid m.s. 57, Kaherah: Dar al-Sahwah, Kaherah).
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) mempunyai
ulasan yang menarik, katanya:
“Apabila kaum keluarga Husain datang kepada Yazid, dia
memuliakan mereka dan mengiringi mereka ke Madinah. Diriwayatkan dia melaknat
Ibn Ziyad atas pembunuhan al-Husain. Katanya: “Aku meredhai ketaatan penduduk
Iraq tanpa membunuh al-Husain”. Namun begitu beliau tidak menampakkan
bantahannya, membela kematiannya dan mengambil tindakan membunuh balas
sedangkan itu adalah kewajipannya. Maka dengan itu, pendokong kebenaran
mengutuknya disebabkan dia meninggalkan kewajipan di samping perkara-perkara
lain. Adapun musuh-musuhnya mereka menokok tambah pendustaan ke atasnya
berbagai-bagai lagi” (Ibn, Taimiyyah, Majmu’ al-Fatwa, 2/253, Riyadh: Maktab
al-‘Abikan).
Unsur Syiah
Unsur syiah bukan baru dalam masyarakat kita, walaupun ia
belum lagi keterlaluan. Ini dapat dilihat bagaimana orang melayu menamakan
akar-akar kayu dengan nama ‘Ali dan Fatimah; seperti tongkat Ali dan Kacip
Fatimah. Tidak dinamakan tongkat Abu Bakr atau ‘Umar, tidak juga Kacip ‘Aishah,
atau Habsah. Dalam jampi juga ada menyebut: “fu kiri, fu kanan, berkat doa
baginda ‘Ali”. Jika sekadar nama ‘Ali atau Fatimah tiada salahnya. Mereka ialah
kaum keluarga Nabi s.a.w yang amat kita kasihi. Sebaliknya, yang ditakuti
apabila perkara yang tidak agama dianggap agama dalam Islam. Itu yang
menakutkan. Sehingga di Pakistan, Iraq, Iran dan kawasan-kawasan yang kuat
pegangan Syiahnya, pada hari ‘Asyura mereka mencederakan diri masing-masing
dengan alatan tajam kerana mengenangkan Saidina Husain dan kekejaman Yazid.
Ribuan bahkan ratus ribu kaum Syiah berkumpul pada sepuluh Muharram saban tahun
melukai tubuh dengan darah dan membasahi pipi dengan airmata mendendami Yazid
dan mengenang al-Husain bin ‘Ali. Lalu peristiwa hitam semalam, terus menjadi
dendam hingga ke hari ini. Siapakah sasarannya? Apapun jawapannya, ia adalah
antara sebab terpisahnya sunni dan syi’ah. Satu ajaran yang hidup dalam
nostagia luka yang sebahagiannya mungkin benar, sebahagiannya mungkin palsu.
Apapun, saya tidak dapat bayang jika seseorang yang ingin
menganut Islam hadir menyaksikan upacara yang dikaitkan dengan Islam yang
dipenuhi manusia yang mencedera dan melukai diri sendiri, apakah dia akan terus
menganggap agama yang membangunkan akal dan jiwa, mudah dan lurus mencapai
Tuhan? Atau mungkin dia tidak dapat membezakan antara ajaran Kristian yang
mendakwa darah Jesus terpaksa ditumpah untuk menebus dosa manusia, atau mungkin
dia akan keliru dengan agama sesat yang menyuruh penganutnya berjalan atas api
dan melukai diri untuk menunaikan nazar atau menebus dosa? Saya tidak pasti.
Apa yang pasti itu bukan sifat Islam seperti yang terkandung indah dalam al-Quran
dan al-Sunnah.
No comments:
Post a Comment