ADA si teruna yang lambat menyatakan hasrat menyunting
pilihan hati lalu jatuh ke pihak lain. Begitu juga halnya dengan seorang wanita
yang tertarik dengan lelaki yang dirasakan calon sesuai untuk dijadikan suami
namun disebabkan dia hanya menunggu akhirnya turut terlepas peluang.
Tiada larangan dalam Islam jika wanita membuat lamaran
terhadap lelaki yang layak menjadi pasangan hidupnya. Apa yang berlaku itu
berkait rapat dengan soal lambat menzahirkan lamaran.
Perigi mencari timba pula merujuk kepada wanita yang
berusaha mencari lelaki untuk dijadikan teman hidup.
Namun dalam masyarakat kita perkara berkenaan dianggap lari
daripada adat dan budaya.
Mungkin ‘tugas’ itu sukar dan mustahil kerana ia tidak
pernah dilakukan dalam masyarakat kita.
Lihat saja sejarah Siti Khadijah yang bertindak ‘berani’
melamar Nabi Muhammad s.a.w. Beliau tidak berasa rendah diri walaupun jarak
usianya dengan Rasulullah agak jauh.
Bagaimana dengan wanita moden yang mahu mencontohi tindakan
Siti Khadijah? Kita semua tahu, Siti Khadijah berketurunan bangsawan yang
kaya-raya.
Bukan saja mempunyai perniagaan besar, tetapi beliau juga
disegani kerana mempunyai kebijaksanaan dan sopan-santun tinggi.
Bagaimana jika wanita datang menyunting lelaki pilihannya
dengan menggunakan orang perantaraan bagi menyampaikan hasratnya?
Mungkin kaum wanita menganggap usaha mereka itu sebagai
‘terhegeh-hegeh’ dan sebab itulah ia gagal dilaksanakan.
Diharap selepas ini kaum wanita terbuka hatinya untuk
merubah budaya.
Wanita meminang lelaki adalah sesuatu yang lumrah. Selain
Siti Khadijah meminang Rasulullah dan Saidina Umar juga pernah meminang Saidina
Abu Bakar untuk puterinya Siti Habsah.
Jika mereka bertemu dengan lelaki yang layak menjadi
pasangan maka ambillah peluang untuk memulakan lamaran. Jangan takut untuk
mencuba dan berasa malu kerana jika ditolak sekalipun Allah pasti menjanjikan
insan yang lebih baik untuk mereka.
Pernah pinangan Umar ditolak Saidina Abu Bakar, tetapi
penolakan itu dilakukan dengan cara paling terhormat. Namun selepas itu Umar
mendapat calon yang lebih baik apabila Rasulullah memperisterikan Siti Habsah.
Jelas Allah tidak akan mengecewakan hamba yang bersungguh
melaksanakan syariat-Nya. Sayang sekali, malu kita tidak merujuk kepada
syariat.
Sebuah hadis yang diriwayatkan Anas berkata: “Ada seorang
wanita yang datang menawarkan diri kepada Rasulullah dan berkata: “Ya
Rasulullah! Apakah kau memerlukan aku?” Puteri Anas yang hadir ketika mendengar
perkataan wanita itu mencelanya dengan mengatakan dia tidak punya harga diri
dan rasa malu. “Sungguh memalukan dan betapa buruknya…!” Anas berkata kepada
puterinya itu: “Dia lebih baik daripadamu! Wanita itu senang kepada Nabi dan
menawarkan dirinya!” (Riwayat Bukhari)
Pendakwah dan Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa
Sdn Bhd, Pahrol Mohamad Juoi, berkata malu dalam Islam mesti diukur atas dasar
iman.
“Tidak seharusnya seorang wanita berasa malu untuk memulakan
langkah untuk melamar lelaki yang dirasakan layak untuknya.
“Malah, tiada tentangan dari sudut akidah, syariah dan
akhlak Islamiah terhadap perkara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata pendekatan yang digunakan perlu selaras
dengan prinsip dan matlamat yang bertepatan dengan nilai agama.
“Umpamanya, wanita perlu menggunakan orang tengah iaitu
keluarga, sahabat dan orang yang boleh dipercayainya untuk tujuan melamar.
“Jika diterima, alhamdulillah dan jika ditolak sekalipun
tidak mengapa. Allah tetap menilai percubaan itu sebagai amal soleh kerana
mereka sudah melakukan sesuatu yang halal dan harus di sisi Islam,” katanya.
Pahrol berkata tidak timbul soal perigi mencari timba kerana
dalam sejarah Islam ada pihak wanita yang meminang lelaki dan begitulah sebaliknya.
“Kedua-dua cara berkenaan boleh dilaksanakan. Apabila ada
wanita melamar lelaki yang dirasakan baik untuk dijadikan pasangan hidup ia
adalah usaha yang sangat terpuji.
“Berjaya atau tidak, bukan soalnya kerana Allah menilai
usaha berkenaan. Jangan sesekali berasa diri direndahkan.
Mereka perlu berasa malu jika terbabit dengan pergaulan
bebas, pendedahan aurat dan tindakan haram lain untuk mendapatkan pasangan
hidup,” katanya.
Beliau berkata pasangan hidup adalah teman yang akan
bersama-sama membentuk keluarga dalam menjalani ibadat sebagai hamba Allah di
atas muka bumi ini.
“Ini misi besar dan berat. Bermula dari keluarga barulah
terbentuknya sebuah masyarakat, negara dan ummah. Untuk membentuk keluarga ini
perlu kepada lelaki kepada wanita.
“Wanita tidak seharusnya rasa ‘terhegeh-hegeh’ atau tidak
laku. Wanita yang dikatakan tidak laku dan terhegeh-hegeh ialah mereka yang
mendedah aurat, berkelakuan tidak senonoh dan bergaul bebas sehingga ke tahap
hilang rasa malu, menggadai iman serta akhlak Islamiah.
“Bagaimana umpan begitulah ikan yang akan kita dapat. Jangan
terkejut jika wanita yang mendedah aurat (seksi) akan mendapat lelaki hidung
belang sebagai pasangannya,” katanya.
Berdasarkan sejarah yang masyhur, Pahrol berkata Siti
Khadijah tertarik dengan keperibadian Nabi Muhammad yang mempunyai sifat jujur
dan bijak ketika menjalankan perniagaan.
“Semua maklumat itu diperoleh daripada hambanya, Maisarah
yang ditugaskan membantu serta mengiringi Rasulullah ketika berniaga.
“Sepanjang bermusafir Maisarah melihat, merasai dan meyakini
bahawa Nabi Muhammad memang seorang yang baik kemudian menyampaikan laporan
kepada tuannya Siti Khadijah.
“Khadijah mempunyai ketajaman menilai sumber maklumat.
Apabila maklumat yang diterima diyakini benar, Siti Khadijah bertindak
memanggil bapa saudaranya dan saudaranya yang lain untuk menyatakan hasrat
melamar Nabi Muhammad.
“Allah mengkabulkan hajatnya dan lamarannya diterima,”
katanya.
Beliau menasihatkan perkara utama untuk mencari pasangan
ialah menjaga akhlak dan keperibadian selain memastikan maklumat pasangan itu
benar.
“Carilah saudara, rakan, ustaz atau sesiapa yang terdekat
dengan lelaki pilihan kita. Setelah ada maklumat yang benar, dirikan solat
istikharah untuk meminta Allah perteguhkan keputusan yang sudah ada atau
meminta petunjuk membuat keputusan yang belum ada.
“Orang yang bersolat istikharah tidak akan kecewa kerana
solatnya bukan saja mencari petunjuk Allah dalam membuat keputusan yang belum
pasti, tetapi turut juga meminta diperteguhkan hati melaksanakan keputusan yang
pasti.
“Selepas menetapkan keputusan, teguhkan azam dan terus
bertawakal. Kemudian segerakan urusan lamaran dengan memilih wakil yang baik
bagi urusan meminang dan seterusnya segerakan perkahwinan,” katanya.
Pahrol berkata bagi mereka yang sudah berusaha mencari
pasangan, tetapi masih belum berjaya perlu bersangka baik kepada Allah.
“Penangguhan itu satu ujian yang pasti ada hikmahnya.
Mungkin Allah hendak selamatkan mereka daripada mendapat suami yang jahat,
pendera dan tidak bertanggungjawab.
“Jadi, berusahalah sambil menunggu ketentuan daripada Allah.
Jangan membuat keputusan untuk tidak berkahwin sampai akhir hayat kerana ia
bertentangan dengan syariat dan fitrah.
“Golongan yang menentang peraturan Allah akan menderita
jiwanya dan hidup dalam kesepian. Dalam apa saja keadaan, beribadatlah sehingga
kita berasa letih untuk melakukan maksiat,” katanya.
Beliau berkata gelaran seperti ‘andartu’ dan ‘andalusia’
tidak sewajarnya dilemparkan kerana hakikatnya mereka sedang diuji Allah.
“Orang yang diuji sepatutnya dibantu, dikasihi dan didoakan.
Masyarakat Islam sepatutnya memikirkan bagaimana kaedah untuk mencarikan jodoh
buat mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment